DENPASAR – Ribuan pelancong dari Russia dan Ukraine yang didakwa melarikan diri ke Pulau Bali selepas negara mereka terlibat dengan peperangan pada Februari tahun lalu kini mencetuskan pelbagai masalah di pusat peranginan popular Indonesia itu, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Sehubungan itu, pihak berkuasa wilayah menggesa penamatan polisi visa semasa ketibaan untuk rakyat dua negara itu dengan memetik beberapa insiden yang melibatkan salah laku.
Ramai dalam kalangan mereka dilaporkan tinggal melebihi tempoh visa serta bekerja secara haram sebagai pendandan rambut, pemandu pelancong serta pemandu teksi.
“Setiap kali kami mendapat laporan mengenai warga asing berkelakuan buruk, hampir selalu ia melibatkan warga Russia.
“Pelancong asing datang ke Pulau Bali tetapi mereka berkelakuan seperti lebih berkuasa daripada undang-undang. Perkara ini selalu berlaku dan ia harus dihentikan,” kata seorang pegawai polis tempatan di bandar Kuta yang enggan dikenali.
Gabenor Bali, Wayan Koster selain itu turut memaklumkan peningkatan kedatangan warga Russia dan Ukraine di tengah-tengah perdebatan awam yang semakin meningkat mengenai persepsi terhadap tingkah laku mereka.
“Mengapa dua negara ini? Kerana (negara) mereka sedang berperang, jadi mereka berkumpul di sini,” kata Wayan pada sidang akhbar minggu lalu.
Menurut statistik, kira-kira 58,000 pelancong Russia melawat Pulau Bali pada 2022 selepas pembukaan semula pulau perangin tersebut pasca Covid-19.
Pada Januari tahun ini sahaja, seramai 22,500 lagi tiba di Pulau Bali, demikian menurut pemerintah Indonesia, menjadikan pelancong Russia sebagai kumpulan pelancong teramai kedua selepas Australia.
Selain itu, lebih 7,000 rakyat Ukraine memasuki Pulau Bali pada 2022 dengan kira-kira 2,500 orang tiba pada bulan pertama tahun ini.
Konsulat Kehormat Ukraine di Bali dalam satu kenyataan kepada CNN berkata, terdapat kira-kira 8,500 warga Ukraine di pulau itu setakat Februari lalu dengan memegang pelbagai permit visa sementara dan kekal.
Menurut jurucakapnya, rakyat Ukraine di pulau itu kebanyakannya adalah wanita, selain mereka datang atas sebab penyatuan keluarga dan bukannya pelancongan.
“Rakyat Ukraine tidak datang bercuti ke Pulau Bali pada masa ini kerana negara mereka sedang diceroboh. Warga Ukraine yang datang ke sini sekarang adalah atas sebab penyatuan keluarga dan kebanyakannya wanita,” kata jurucakap, Nyoman Astama.
Sementara itu, seorang artis jalanan warga Russia yang mengembara ke Pulau Bali, Sergei Ovseikin, menghasilkan mural antiperang di tengah-tengah sawah padi yang mencerminkan pendiriannya mengenai kerahan tentera dan perang.
“Seperti kebanyakan orang lain yang terpaksa meninggalkan negara asal kami, saya datang ke Pulau Bali sebagai pelancong. Russia kekal dalam situasi politik yang sukar. Saya menentang peperangan, tidak kira di mana ia berlaku,” katanya. – Agensi