PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sudah mula mendapat keyakinan meskipun gagal melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) 2023 di Birmingham.
Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Utilita Arena malam kelmarin, pemain No. 4 dunia itu tewas dalam aksi straight-set 19-21, 13-21 kepada naib juara dunia 2018 dari China, Shi Yuqi.
Walaupun tidak dapat memenuhi hasrat untuk melangkah ke pentas final All England buat kali kedua dalam karier, namun Zii Jia tetap dapat menarik nafas lega kerana dia sudah kembali mendapatkan keyakinan.
“Prestasi saya di sini (All England) membuatkan saya kembali percaya dengan kemampuan diri. Saya mengharungi permulaan musim yang agak sukar, saya sebenarnya ragu sama ada mampu kembali bangkit ataupun tidak.
“Bagaimanapun, saya sudah buktikan pada kejohanan ini. Mungkin sehingga separuh akhir sahaja tetapi saya mahu ambil pendekatan peringkat demi peringkat untuk menjadi lebih baik,” kata pemenang All England 2021 itu.
Untuk rekod, kejayaan mara ke separuh akhir All England adalah pencapaian terbaik juara Asia itu musim ini selepas kerap tersingkir di pusingan awal dalam kejohanan terdahulu termasuk Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Terbuka Jerman.
Mengulas pertemuan dengan Yuqi, Zii Jia percaya lawannya itu turun dengan keadaan lebih bersedia, terutamanya pemain No. 12 dunia itu seolah-olah sudah tahu kelemahan yang dimilikinya.
“Dia berjaya laksanakan pelan permainan dengan baik, saya fikir dia memang benar-benar bersedia untuk bermain hari ini (kelmarin). Mungkin saya perlu tambah baik aksi di depan jaring serta belakang gelanggang,” ujarnya.
Pemain kelahiran Alor Setar, itu kini sedang bersiap bagi menghadapi Terbuka Switzerland yang bermula esok dengan pemain China, Li Shi Feng menanti di pusingan pertama.