JAGUH perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui bahawa dia tidak kecewa ekoran kekalahannya ke atas wakil China, Li Shi Feng di suku akhir kejohanan All England kelmarin.
Tegas pemain ranking No. 28 dunia itu, dia sudah memberikan aksi terbaik ketika tewas kepada wakil China itu, 11-21, 11-21 dalam aksi yang memakan masa selama 41 minit.
Tze Yong yang membuat penampilan sulungnya di kejohanan tersebut mengakui banyak kerja rumah yang perlu dibaiki sejurus kekalahan ke atas pemain ranking ke-14 dunia tersebut.
“Saya rasa terlampau ghairah dari awal permainan sebab sudah melakukan persediaan rapi sebelum aksi ini.
“Malah, semuanya bermula dengan baik pada awal saingan untuk kedua-dua set. Namun, pada penghujung aksi saya sedikit tertekan dan tewas,” katanya.
Dalam pada itu Tze Yong percaya penampilan pertamanya di kejohanan besar seperti All England memberikan pengalaman berguna buat dirinya untuk kejohanan yang akan datang.
“Banyak perkara yang saya belajar di kejohanan ini. Jadi, saya harap pengalaman ini dapat digunakan bagi kejohanan yang akan datang,” ujarnya.
Selepas ini, Tze Yong dijangka akan menyertai Terbuka Switzerland yang dijadual diadakan bermula esok.