Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Malaysia menghantar surat khusus kepada Perancis hari ini bagi menyatakan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap isu karikatur Nabi Muhammad SAW oleh akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, surat rasmi berkenaan akan dihantar kepada Duta Perancis di Malaysia.
Beliau berkata, Perancis antara negara Eropah pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957.
“Semoga peristiwa ini memberi pengertian yang besar dalam memaknakan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Perancis.
“Bersempena dengan bulan Rabiulawal yang juga bulan kelahiran Rasulullah SAW, saya hadiahkan beliau (Duta Perancis di Malaysia) sebuah buku bertajuk al-Shama’il al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad) terjemahan bahasa Inggeris,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kandungan surat khusus itu antara lain menyatakan kekecewaan kerajaan Malaysia terhadap isu karikatur berkenaan selain senada dengan pandangan dikemukakan Imam Besar Al- Azhar, Sheikh Ahmed el-Tayeb dan Majlis Hukama’ Al-Muslimin.
Zulkifli yang juga anggota Majlis Hukama’ Al-Muslimin berkata, sukar untuk mempercayai dalam dunia moden ini bahawa ada di antara kita yang masih belum mengetahui tentang pentingnya hidup bersama dalam keadaan aman dan damai.
“Kami juga merasa tidak puas hati dan kecewa dengan kejadian itu (isu karikatur).
“Islam bukan agama asing di Perancis. Francis I dan Suleiman I telah bekerjasama sebagai sebahagian daripada pakatan Franco-Uthmaniyyah menentang Maharaja Rom Suci Charles V dan Henry VIII dari England.
“Kita sebagai umat Islam tidak akan membalas dendam dengan cara yang sama atau tidak menghormati orang lain,” katanya.
Katanya, umat Islam berpegang teguh pada sabda Nabi iaitu ‘Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang tidak mencederakan orang lain dengan lidah dan tangannya’.
Isu karikatur Nabi Muhammad kembali hangat apabila akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad yang menjadi punca serangan pada 2015.
Muka depan isu Charlie Hebdo terbaru memaparkan 12 kartun yang pertama kali diterbitkan akhbar harian Denmark, Jyllands-Posten pada 2005 dan dicetak semula oleh Charlie Hebdo pada 2006, yang menimbulkan kemarahan umat Islam global.
Di tengah-tengah muka depan akhbar itu adalah kartun Nabi Muhammad yang dilukis kartunis, Jean Cabut, juga dikenali sebagai Cabu, yang maut dalam serangan itu. – K! ONLINE