MENERUSKAN tradisi sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba dalam masa beberapa hari lagi, kumpulan nasyid terunggul tanah air Rabbani terus menjadi pilihan untuk menghiburkan pengunjung ketika majlis berbuka puasa.
Untuk bulan Ramadan tahun ini, kumpulan popular itu dipilih oleh lokasi rekreasi Semenyih Eco Venture Resort & Recreation yang membawa pengunjung kembali ke alam semula jadi dan jauh daripada kesibukan kota.
Pemilihan Rabbani sebagai artis dan juga rakan sinergi lokasi kerana faktor kredibiliti, berpengaruh dan mencipta nama tersendiri dalam industri hiburan tanah air sejak lebih dua dekad lalu.
“Alhamdulillah, Rabbani terus menjadi pilihan syarikat swasta dalam mengimarahkan bulan Ramadan nanti sekali gus membuktikan kumpulan nasyid masih relevan dalam industri tanah air.
“Sebagai kumpulan senior, kami perlu menunjukkan contoh terbaik kepada generasi baharu untuk terus yakin dan bersemangat meneruskan legasi nasyid tanah air.
“Untuk berjaya dan kekal relevan, kami perlu bermula dengan komitmen serta memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak agar dapat melahirkan kepercayaan dalam menjalankan tugas,” kata Azadan Abdul Aziz mewakili Rabbani.
Tambahnya, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang Ramadan di lokasi tersebut melibatkan kerjasama dengan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM).
Selain majlis berbuka puasa yang bermula dari 1 hingga 27 Ramadan nanti, pelbagai program menarik lain ditawarkan antaranya Pakej Madrasah Ramadan dan Pakej Lailatulqadar.
Menjelaskan lanjut, Pakej Madrasah Ramadan yang berlangsung selama sebulan bermula dari 23 Mac hingga 20 April depan meliputi pengisian rohani seperti kelas pengajian kitab, tadarus, tarawih dan qiamullail berharga RM1,990 untuk seorang.
Menawarkan aktiviti yang sama, Pakej Lailatulqadar bagaimanapun hanya bermula dari 12 hingga 21 April iaitu 10 malam terakhir Ramadan, juga dengan harga yang sama.
Lebih menarik, program buka puasa bersama mereka menyediakan lebih 200 menu menarik kepada pelanggan meliputi menu masakan tradisional tempatan, Asia dan Timur Tengah terdiri daripada pasukan pakar masakan yang berpengalaman.
Pakej berbuka puasa bersama Rabbani menawarkan harga serendah RM68 untuk dewasa, kanak-kanak RM34, warga emas 60 tahun ke atas RM40, manakala kanak-kanak enam tahun ke bawah adalah percuma.
Perkampungan Madani
Dalam melaksanakan program besar tersebut, Semenyih Eco Venture Resort & Recreation membawa tema Perkampungan Madani Ramadan Dihayati dengan matlamat menjadikan lokasi berkenaan sebagai pusat pelancongan Madani terbesar di Malaysia.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung antaranya memanah, paintball, berbasikal, kayak, flying fox, wall climbing termasuk kegiatan lasak seperti meredah hutan dan sungai serta kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).
Pelanggan yang berbuka puasa bersama Rabbani sepanjang Ramadan nanti berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa tiga pakej umrah tajaan daripada dua agensi berbeza, MJ Success Travel & Tours Sdn. Bhd. dan As Safa Travel Sdn. Bhd.