fbpx

SPR pamer Daftar Pemilih Tambahan kepada orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku tahun ketiga tahun ini selama 14 hari bermula esok hingga 10 November ini di seluruh negara.

Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata, RDPT itu mengandungi 308,451 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak.

Beliau berkata, daftar pemilih itu turut mengandungi 41,688 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon dalam tempoh antara 1 Julai hingga 30 September lalu.

“Semakan RDPT boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan termasuk hadir ke 914 tempat pameran di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan atau melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Orang awam juga boleh hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku daftar pemilih yang disediakan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, bagi Pameran RDPT SPR tidak meletakkan salinan buku di 914 tempat-tempat pameran, sebaliknya hanya meletakkan sehelai notis bersaiz A4 yang mengandungi Kod QR RDPT bagi bahagian pilihan raya parlimen yang berkenaan sahaja.

Ikmalrudin berkata, kaedah ini adalah untuk mengelakkan orang ramai menyemak nama dalam RDPT dengan menyentuh buku RDPT yang seterusnya boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

“Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.

“Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan,” katanya.

Katanya, semasa tempoh Pameran RDPT, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI