fbpx

Anna Jobling tak perlu ‘bodyguard’, mahu masuk kelas tinju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIKA tidak bekerja, Anna jarang keluar rumah andai tiada urusan, justeru tiada keperluan untuk dirinya mengupah pengawal peribadi sepanjang masa.

PETALING JAYA – Pelakon jelita Anna Jobling tidak bercadang menggunakan khidmat pengawal peribadi (bodyguard) kerana merasakan tiada keperluan untuk dirinya dikawal semasa berada di tempat awam.

Ujar pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu, dia hanya dijaga pengawal peribadi untuk sebab tertentu seperti menghadiri majlis yang dikerumuni ramai orang.

“Buat masa sekarang saya rasa tiada keperluan untuk pasang pengawal peribadi melainkan jika saya menghadiri majlis yang ada ramai orang.

“Lagipun saya sentiasa bersama dengan pasukan dan percaya mereka boleh menjaga keselamatan saya. Kalau pandai jaga diri, rasanya saya okey sahaja untuk jalan seorang diri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon berusia 22 tahun itu lagi, dia juga jarang keluar rumah bersendirian dan akan terus pulang selepas selesai bekerja untuk berehat.

“Hidup saya kalau tidak di set penggambaran, saya akan berada di rumah sahaja. Jadi buat masa ini saya rasa memang tiada keperluan lagi untuk pasang pengawal peribadi setiap masa,” jelasnya.

Ketika ditanya jika dirinya pernah berdepan pengalaman diserbu peminat fanatik, Anna berkata, setakat ini dia belum lagi mengalami kejadian menakutkan seperti itu, namun mengakui berasa bimbang jika situasi sebegitu berlaku.

“Setakat ini saya belum pernah melalui pengalaman diserbu peminat fanatik sehingga menimbulkan suasana menakutkan. Sebab saya pun jarang keluar rumah.

“Tapi selepas insiden yang berlaku ke atas Kamal Adli (diserang dan dicederakan), memang timbul sedikit kerisauan. Pendapat saya, perkara sebegitu boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana sahaja walaupun dijaga pengawal peribadi,” jelasnya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu merancang mengikuti kelas seni mempertahankan diri iaitu tinju sebagai persediaan jika berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Kata Anna, sebelum ini dia pernah mengikuti kelas tinju, namun terhenti disebabkan jadual kerjanya yang sibuk.

“Untuk persediaan, saya rasa nak sambung semula kelas tinju. Sebelum ini saya pernah menghadiri kelas seni mempertahankan diri tinju, tapi terhenti sebab sibuk.

“Mungkin selepas ini saya akan sambung semula kelas tinju. Sekurang-kurangnya saya ada asas dalam seni bela diri,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran baju raya kucing DD Cat & Anna Jobling di Lalaport, baru-baru ini.

Terdahulu, industri seni hiburan tempatan gempar selepas pelakon Kamal Adli diserang seorang lelaki tidak dikenali menggunakan cota besi sehingga mengalami kecederaan serius di kepala semasa berada di Singapura hujung minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI