fbpx

334,426 pelajar memulakan sekolah di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid SK Taman Uda di Alor Setar kelihatan ceria pada hari pertama ketika hadir persekolahan Sesi 2023, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Sejumlah 334,426 pelajar memulakan sesi persekolahan Kalendar Akademik 2023-2024 di 752 sekolah seluruh Kedah hari ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad, daripada jumlah tersebut sebanyak 30,613 murid memasuki alam persekolahan di 548 sekolah rendah sementara 13,667 murid di peringkat pra sekolah.

Katanya, sejumlah 29,240 pelajar mendaftar masuk ke 204 sekolah menengah termasuk 154 sekolah menengah kebangsaan (SMK) pada sesi persekolahan Kumpulan A itu.

“Dalam persiapan sebelum ini kita mengadakan empat sesi perjumpaan dengan pengurusan tertinggi serta melibatkan semua guru besar dan pengetua  dengan hasrat pembukaan sekolah di Kedah ini berjalan baik dan selesa.

“Yang pentingnya, masyarakat dan ibu bapa yakin nak hantar anak-anak mereka ke sekolah. Kita juga meninjau persiapan sekolah dan dalam keadaan fizikalnya adalah baik,” katanya dalam sidang akhbar sempena pembukaan sesi itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, persekolahan kali ini melibatkan 687 sekolah bagi sesi pagi, dua (petang) dan 63 (pagi dan petang).

Dalam perkembangan lain, katanya, jabatan turut menempatkan seramai 149 guru baharu di sekolah menengah sementara 27 guru di sekolah rendah bermula esok untuk melancarkan operasi pembelajaran.

“Guru baharu yang kita dapat ini hasil keperluan guru baharu untuk sekolah di Kedah. Sebanyak 149 guru itu termasuk 65 adalah guru opsyen bahasa Inggeris. Sementara di sekolah rendah pula sebanyak 10 guru opsyen Bahasa Inggeris.

“Dengan kehadiran guru opsyen ini akan dapat membantu pembelajaran pelajar dalam Bahasa Inggeris itu khususnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI