TAMPIN – Seorang bapa di Taman Bukit Ria di sini, merayu anak lelakinya supaya melupakan segala perselisihan faham dan pulang segera ke pangkuan keluarga selepas hilang tanpa khabar berita sejak dua tahun lalu.
Ti Kai Heng, 64, berkata, anaknya, Ti Kok Ching, 32, mungkin keluar dari rumah disebabkan serabut dengan tindakannya yang kerap menggesa pemuda itu berkahwin.
Katanya, mereka bimbang mengenai keselamatan dan keadaan anaknya yang jauh dari keluarga.
“Anak kedua daripada empat beradik itu keluar dengan membawa beg pakaian untuk bekerja di lokasi tak diketahui.
“Sejak itu, dia langsung tidak pulang ataupun menjawab panggilan telefon semua orang,” katanya.
Menurut Kai Heng, dia langsung tiada maklumat di mana anaknya bekerja dan telah membuat laporan polis bulan lepas.
Tambahnya, dia berharap anaknya pulang tambahan pula isterinya, Tan Siew Ling, 56, sudah berusia selain ingin melihat Kok Ching memiliki keluarga sendiri.
“Mungkin sebelum ini saya kerap menyuruhnya berkahwin dan sanggup memberi duit tetapi dia tidak bersetuju hingga berlaku perselisihan faham,” katanya.
Ujar Kai Heng, dia bimbang setiap kali terbaca berita mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara dan berharap anaknya bukan salah seorang daripada mangsa.
“Tahun lalu ada surat insurannya sampai ke rumah. Saya yakin anak saya ada di negara ini dan berharap agar mana-mana individu yang tahu di mana anak saya dapat menghubungi balai polis terdekat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Kok Ching diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Awang Hamad Abdullah di talian 06-441 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE