WASHINGTON – Aplikasi tontonan video pendek, TikTok kini disiasat oleh Jabatan Kehakiman adilan kerana disyaki mengintip penduduk dan wartawan Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita Daily Mirror semalam.
Laman sosial popular itu dimiliki oleh ByteDance yang berpangkalan di Beijing dan dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah China.
Laporan menyatakan bahawa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman sedang menyiasat ByteDance selepas platform video pendek itu mengaku ‘menuai’ data rakyat AS dan dua wartawan pada Disember tahun lalu.
ByteDance bagaimanapun enggan mengulas dakwaan tersebut.
Siasatan itu dibuat selepas White House meneruskan pendirian lebih tegas terhadap syarikat China itu di tengah-tengah kebimbangan mengenai keselamatan AS.
Washington bimbang China mungkin menggunakan aplikasi sangat popular itu untuk memperoleh data dan mengintip rakyat AS serta mahu menjejaskan institusi demokrasi di negara berkenaan.
Menurut akhbar New York Times, pekerja-pekerja TikTok mendapat akses kepada alamat protokol internet (IP) wartawan dan orang yang mereka sambungkan pada aplikasi itu manakala dua daripada kakitangan itu yang berpangkalan di China telah cuba mendapatkan data sensitif.
Bagaimanapun, ByteDance memperkecilkan dakwaan itu dan berkata, pihaknya akan mencegah pencerobohan data pada masa hadapan. – Agensi