MUNICH – Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic sudah tidak sabar untuk bertemu Manchester City yang dianggap sebagai pasukan terkuat di Liga Juara-Juara musim ini.
Salihamidzic merasakan City mempunyai kekuatan lebih ‘dahsyat’ berbanding juara bertahan, Real Madrid selepas kedua-dua pasukan diundi bertemu di pentas suku akhir bulan depan.
Ia berdasarkan kejayaan The Citizens membelasah satu lagi wakil Jerman, RB Leipzig 7-0 pada timbal balik pusingan 16 terbaik yang menyaksikan Erling Haaland meledak lima gol dalam perlawanan itu.
“Saya amat menggemari cabaran seperti ini. Malah, para pemain juga begitu fokus dan bersedia untuk berhadapan pasukan yang saya rasakan terkuat di Eropah ketika ini.
“City menang selesa menentang Leipzig. Jadi, kami menganggap ini sebagai satu lagi perlawanan akhir selepas PSG (Paris Saint-Germain) sebelum ini,” katanya.
Bayern mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan PSG 3-0 secara agregat di pusingan 16 terbaik, manakala City pula merekodkan kejayaan agregat 8-0 ke atas Leipzig.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn merasakan pasukannya berpeluang cerah untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketujuh jika berjaya melepasi cabaran City.
“City adalah pasukan yang sangat hebat, tetapi jangan lupa kami adalah Bayern Munich. Jika anda mahukan gelaran juara, anda perlu kalahkan pasukan seperti City,” jelasnya. – AGENSI