fbpx

Tragedi berdarah Kamal, tuduhan berat Uqasha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISU serangan berdarah ke atas Kamal Adli di Singapura berlanjutan dengan isu keselematan, batu api dan tuduhan pembuli ke atas Uqasha Senrose.

SELEPAS bertalu-talu isu rumah tangga membabitkan beberapa selebriti tanah air menjadi tumpuan sejak beberapa bulan lalu, perhatian dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan insiden menakutkan membabitkan pelakon Kamal Adli hujung minggu lalu.

Dipukul dengan cota besi dan senjata tajam sehingga mengalami koyakan serta luka dalam pada bahagian belakang kepala, demikian kecederaan parah yang ditanggung Kamal selepas dibelasah seorang lelaki tidak dikenali.

Kejadian yang berlaku pada malam Ahad, 12 Mac lalu di tapak ekspo Singapore Expo Hall, Singapura cukup mencemaskan, terutama buat isteri pelakon itu, Uqasha Senrose yang menjadi saksi empat mata suaminya dipukul tanpa sebab.

Akibat keadaan yang lemah setelah mengalami banyak pendarahan, Kamal, 37, menjalani pembedahan, namun sudah sedarkan diri dan berada dalam keadaan stabil.

Sempat berkongsi situasi mendebarkan yang berlaku semasa kejadian, Uqasha memberitahu, suspek mengakui, cemburukan Kamal kerana berkahwin dengan dirinya, selain lelaki warga Singapura itu turut melontarkan kata-kata berbaur ugutan kepada keluarganya.

MENERUSI sekeping gambar kenangan dalam sebuah kelas semasa zaman persekolahan, seorang wanita mendakwa terpaksa bertukar sekolah akibat tertekan dibuli Uqasha Senrose.

Rentetan pengakuan tersebut, Uqasha kemudian mendedahkan suaminya pernah menerima kiriman mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali dari Singapura.

“Hey! Pesan sama Kamal Adli anjing. Aku mesti bunuh dia. Aku mesti seksa dia habis-habisan okey. Semua anjing keparat,” demikian bunyi mesej tersebut yang dikongsikan Uqasha.

Biarpun belum dapat dipastikan kesahihannya jika lelaki yang menyerang Kamal adalah individu sama menghantar mesej tersebut, namun isu berkenaan menarik perhatian peminat apabila menyedari Uqasha sebenarnya sudah lama menerima komen pelik dalam Instagram.

Ketika dirundung duka tatkala suami melawan kesakitan, timbul beberapa isu berbangkit apabila ada pihak cuba menjadi batu api dengan melaga-lagakan dua buah negara, Malaysia dan Singapura.

Seperti ditegaskan Uqasha, apa yang berlaku bukan soal negara tetapi semuanya atas diri sendiri, sekali gus meminta semua pihak tidak menyalahkan satu sama lain.

Tiada siapa yang dapat menjangka kejadian sebegitu akan berlaku kepada siapa, di mana dan bila waktunya.

Puncanya juga kadang-kadang tidak masuk akal, namun boleh berlaku pada sesiapa saja, sama halnya dilalui Uqasha, 30, apabila serangan tersebut dikatakan bermotif cemburu dan obsesi peminat terhadapnya.

Hampir gugur jantung melihat tragedi berdarah menimpa Kamal di depan mata, Uqasha melalui episod trauma. Dia bahkan berdepan masalah kegelisahan melampau sehingga sukar tidur dan akibatnya, timbul rasa takut untuk bergambar dengan orang lain selepas ini.

TERKESAN diburuk-burukkan netizen, Uqasha nekad mahu melawan fitnah kaki buli ke atasnya ikut landasan pengadilan.

Cuma jelas pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu, dia menolak dakwaan suka menunjuk-nunjuk kebahagiaan dalam media sosial merupakan punca membangkitkan rasa tidak puas hati pihak lain. Dia seorang yang profesional, hanya berkongsi perihal kerja dalam media sosial.

Dugaan melanda pasangan popular itu memasuki episod baharu apabila timbul pula hal lain apabila Uqasha didakwa sebagai kaki buli pada zaman persekolahan seperti didedahkan seorang netizen dalam Twitter.

Wanita yang mendakwa sebagai rakan sekolah aktres itu berkata, kejadian menimpa Kamal ibarat karma buat Uqasha kerana pernah terlibat dengan perbuatan buli di sekolah.

Enggan namanya dicemari begitu sahaja, Uqasha mempertahankan diri dengan berkata, tuduhan tersebut satu fitnah. Dia mendakwa ada membuat laporan selain mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita itu.

“Berani kerana benar, saya tak takut sedikit pun. Saya ambil tindakan undang-undang kerana impak fitnah itu membuatkan ramai tak kenal saya tapi percaya saya kaki buli.

“Hanya dengan sekeping gambar dia tuduh macam-macam. Saya pun hairan bagaimana dia boleh fitnah sebegitu. Tak mengapa, sekolah serta guru yang pernah mengajar saya masih ada di situ.

“Cuma saya ajukan perkara ini ke pihak berkuasa sebagai penegasan saya bukan pembuli. Lagipun saya banyak berpindah sekolah ketika tingkatan lima dahulu,” kata Uqasha dalam siaran langsung TikTok.

Barangkali cuba menangguk di air keruh, pendedahan wanita itu sekadar dianggap angin lalu yang cuba mencuri perhatian tatkala dirinya diuji, namun Uqasha bukan seorang yang berdiam diri kerana balasannya, tindakan undang-undang menanti si penyebar fitnah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI