DUNGUN – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini dalam fasa pembinaan rel sepanjang 665 kilometer berjaya mencapai 10 juta jam bekerja tanpa kemalangan (LTI).
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pencapaian itu berjaya direkodkan pada akhir bulan Februari lalu.
“Pencapaian 10 juta jam LTI ini sejajar dengan usaha kita yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan tenaga kerja projek ECRL.
“Projek ini memiliki 17,000 tenaga kerja merangkumi kakitangan MRL, kontraktor (China Communications Construction – ECRL Sdn. Bhd.) dan sub-kontraktor,” katanya ketika Kempen Keselamatan dan Kesihatan ECRL di seksyen 4 projek tersebut di sini hari ini.
Darwis berkata, pencapaian 10 juta jam LTI itu turut disumbang oleh komitmen MRL mewujudkan tiga pusat latihan keselamatan dalaman di Kemaman serta Maran dan Bentong, Pahang.
Jelas beliau, pusat latihan keselamatan tersebut dilengkapi dengan teknologi realiti maya (VR) yang membolehkan simulasi hampir 100 situasi berpotensi berbahaya di tapak pembinaan dilaksanakan dengan lebih praktikal dan menjimatkan masa.
“Antara simulasi yang boleh dilakukan menggunakan teknologi VR ialah pemindahan dari terowong, kejutan elektrik, ujian asas topi keledar keselamatan dan penolakan penahan dinding.
“Setakat ini, lebih 1,000 kakitangan (ECRL) telah terlibat dalam simulasi dan latihan ketangkasan reaktif di pusat latihan keselamatan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE