GEORGE TOWN – Jabatan Perikanan Pulau Pinang merampas dan menyita 328 bubu naga bernilai RM39,360 sepanjang Februari lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Yazeereen A Bakar berkata, rampasan itu dilakukan menerusi beberapa siri pemeriksaan darat di jeti-jeti nelayan di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
”Kami bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau penjualan bubu naga di platform-platform menjual barangan secara online.
“Kita sedang memantau dan KPDN serta SKMM sedang dalam proses untuk memastikan tiada iklan jualan bubu naga dalam aplikasi jualan barangan secara dalam talian ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perikanan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Katanya, selain bubu naga, pihaknya juga menyita 2,890 mata rawai tanpa umpan setelah didapati tidak mempunyai kebenaran untuk menggunakan untuk menangkap ikan serta empat nelayan tempatan berusia 25 hingga 63 tahun ditahan kerana melanggar syarat lesen.
“Turut disita adalah hasil tangkapan sebanyak 500 kilogram, anggaran nilai rampasan bagi kesemua kes sepanjang Februari adalah sebanyak RM42,860 termasuk hasil tangkapan sebanyak 0.5 tan metrik,” katanya. – KOSMO! ONLINE