SELEPAS 17 tahun, perlumbaan Grand Prix (GP) D1 Malaysia (D1GP) akhirnya kembali menggegar Malaysia hujung minggu ini di Litar Lumba APDCrew di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor.
Menariknya, seramai 54 pemandu drif dalam dan luar negara akan berkampung di Litar APDCrew bermula hari ini dan esok bagi merebut juara keseluruhan D1GP Asia Tenggara, trofi D1GP Malaysia pusingan 4 & 5 dan Perlumbaan Siri Drift Nasional Malaysia (NDSGP).
Presiden Kelab Sukan Bermotor Exquisite, Muhammad Zaiham Hamdan berkata, saingan D1GP hujung minggu ini bertambah menarik kerana Malaysia menjadi destinasi terakhir perebutan gelaran ‘Raja Drif’ Asia Tenggara selepas berakhir siri perlumbaan di Filipina dan Thailand.
Katanya, perebutan gelaran D1GP dilihat terbuka dan pemandu negara seperti Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dan Fazreen Ismail berpeluang untuk merebut gelaran tersebut minggu ini.
“Pastinya perlumbaan D1GP yang bermula esok (hari ini) dan Ahad akan menjadi menarik kerana 54 pemandu akan berusaha keras untuk merebut gelaran. Seperti sedia maklum, kita sudah lama tidak mengadakan perlumbaan D1 dan ini merupakan satu tarikan.
“Perlumbaan D1 juga akan berlangsung sekali perlumbaan Siri Drift Nasional dan di situ kita akan lihat pemandu-pemandu berbakat dari Malaysia, sekali gus mungkin mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Soal perebutan gelaran D1GP, saingan dilihat terbuka kerana perebutan tempat dua dan tiga masih belum diputuskan. Jadi, minggu ini apa-apa boleh berlaku dan pemandu tempatan juga berpeluang untuk memenangi gelaran keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar di Selangor semalam.
Dalam pada itu, pelumba legenda drif dari Jepun, Kawabata Masato turut menyertai acara hujung minggu ini bersama pemandu drif Indonesia, Zikoi dan juga beberapa pelumba dari Jepun serta Malaysia.
Penonton yang ingin menyaksikan perlumbaan tersebut lebih dekat boleh mendapatkan tiket yang dijual pada hari perlumbaan dengan harga RM20 untuk sehari dan RM30 untuk 2 hari.
Penonton juga boleh menonton siaran langsung Grand Prix D1 Malaysia, NDS Malaysia di Facebook rasmi Retro Havoc dan APDCrew Circuit.