KULIM – Tindakan seorang lelaki mengajak isterinya yang sarat hamil keluar makan tengah hari sebelum ke wad bersalin menyebabkan mereka terselamat dirempuh kereta di Taman Perak, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari itu, sebuah kenderaan jenis Honda BRV dipandu lelaki berusia 30-an serta anaknya berusia 17 tahun merempuh bahagian bilik tidur rumah mangsa.
Pekerja industri, Mohd. Shakir Fairuz Ahmad, 38, berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya, Cici Lastri Lasrywan, 30, serta dua anak lelaki berusia sembilan dan tujuh tahun keluar makan.
“Disebabkan isteri akan masuk wad bersalin di Hospital Kulim esok, saya ambil keputusan untuk mengajaknya makan tengah hari bersama anak-anaknya pada waktu rehat.
“Saya pulang ke rumah pukul 12.45 tengah hari lalu kami keluar makan ke sebuah restoran di Lunas, namun ketika dalam perjalanan pulang, seorang jiran hubungi beritahu sebuah kenderaan merempuh rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini.
Mohd. Shakir berkata, dia tergamam sebaik tiba di rumah, namun bersyukur kerana terselamat daripada kejadian yang tidak diingini.
“Kebiasaannya saya akan keluar makan bersama keluarga pada cuti hujung minggu dan bilik utama itu menjadi tempat melepak serta belajar dua anak saya,” ujarnya
Sementara itu, seorang jiran yang mahu dikenali sebagai Rosli berkata, ketika kejadian, dia berada di rumahnya sebelum terdengar dentuman kuat lalu berlari keluar untuk melihat kejadian yang berlaku.
“Pada mulanya saya sangka tong sampah jiran dilanggar, namun apabila melihat ke arah rumah Shakir saya nampak asap dan sebuah kereta merempuh rumah jiran saya,” katanya
Menurut Rosli, dia dan beberapa jiran membantu pemandu dan penumpang untuk keluar dari kenderaan mereka sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan. – KOSMO! ONLINE