fbpx

Raja Singa Serengeti mati bertarung merebut kawasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan singa jantan popular yang diberi nama Bob Junior. -- AGENSI

DAR ES SALAAM, Tanzania – Seekor singa jantan yang terkenal kerana mempunyai mata ambar dan bulu tengkuk berwarna emas telah mati dalam pergaduhan merebut kawasan di Taman Negara Serengeti Tanzania, kata pegawai hidupan liar kelmarin.

Jurucakap Pihak Berkuasa Taman Negara Tanzania, Catherine Mbene berkata, Bob Junior yang berusia dua belas tahun mati akibat diserang oleh saingannya yang lebih muda minggu lalu.

“Adalah perkara biasa bagi binatang buas untuk bergaduh merebut kawasan pada usia tertentu, terutamanya singa.

“Bob Junior terbunuh dalam pergaduhan itu,” kata Mbene.

Sering dipanggil Raja Serengeti, singa itu mudah dilihat oleh pelancong dan pengusaha pelancongan kerana surai tebalnya yang diwarisi daripada singa jantan bernama Bob.

Nama panggilan itu diilhamkan oleh rambut gimbal bintang reggae Jamaica, Bob Marley.

Mbene berkata, pihak berkuasa menganggap kematian Bob Junior sebagai wajar.

“Dalam pemuliharaan alam semula jadi, kami tidak boleh campur tangan dan itulah sebabnya kami tidak dapat mengalihkan singa yang semakin tua ke tempat perlindungan atau tempat lain yang dilindungi,” ujarnya.

Singa Afrika biasanya mempunyai jangka hayat sehingga 18 tahun di habitat liar, demikian menurut kumpulan pemuliharaan, Cats for Africa.

Kawasan Serengeti di utara Tanzania dianggarkan mempunyai antara 3,000 dan 3,500 ekor singa, kata beberapa pegawai hidupan liar.

Namun, kucing besar itu semakin terancam akibat peningkatan populasi manusia dan aktiviti perburuan.

Pada 2020, Tanzania memindahkan 36 ekor singa dari Serengeti kerana menyerang manusia dan lembu. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI