SEBERANG PERAI – Sebanyak 2.63 juta benih ikan dan udang galah telah dilepaskan ke perairan umum di negeri ini dengan menggunakan peruntukan berjumlah RM388,000 sejak tujuh tahun lalu.
Pengarah Perikanan negeri, Yazeereen A. Bakar berkata, secara amnya, pelepasan itu dilihat bermanfaat kepada penduduk setempat selain memberi manfaat khusus kepada kira-kira 345 orang nelayan darat di seluruh Pulau Pinang.
Menurutnya, ini bertujuan menambah, mengekalkan serta melindungi stok udang galah dan ikan yang terdapat di perairan umum selain dijadikan sebahagian kalendar aktiviti Jabatan Perikanan negeri yang dilakukan secara berkala.
Terbaharu katanya, sebanyak 100,000 ekor benih udang galah dilepaskan hari ini dengan peruntukan sebanyak RM10,000 di Jeti Nelayan Lebuh Banting di Tasek Gelugor di sini.
“Program ini (pelepasan udang galah) bertujuan memastikan stok udang galah di sepanjang Sungai Kulim khususnya berkekalan demi mengelakkan kepupusan sumber perikanan sedia ada.
“Pertambahan stok ini penting untuk meningkatkan ekonomi nelayan setempat di sepanjang Sungai Kulim dan limpahannya juga mengalir hingga ke Sungai Perai selain boleh menjadi aktiviti riadah kepada pemancing. Jadi, apabila stok udang galah ini bertambah, pendapatan nelayan juga meningkat,” katanya dalam satu kenyataan selepas hadir pada program pelepasan itu hari ini.
Beritahu Yazeereen, usaha itu pastinya memberi kesan positif kerana ia merupakan salah satu kaedah untuk memelihara serta memulihara pelbagai hidupan sungai yang semakin pupus selain mampu menjana pendapatan nelayan dan penduduk setempat.- KOSMO! ONLINE