PETALING JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung hantaran Facebook Che’Gubard Original yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan gerakan Kristian Evangelist.
Hantaran itu turut menuduh bahawa kementerian tersebut menyalurkan dana kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyeru belia bukan Kristian ke gereja.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan tentang hantaran yang dimuat naik pada 15 Mac lalu.
“Semakan mendapati hantaran tersebut menerima 544 komen, 377 perkongsian dan 448 respons.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Aka Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Eng Lai turut menasihati orang ramai tidak membuat spekulasi atau mengulas isu tersebut secara provokasi yang mungkin boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di Malaysia.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam melalui isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” ujarnya.
Terdahulu, hantaran tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian menyeluruh khususnya umat Islam.
Che’Gubard Original dalam hantaran itu turut mendakwa selepas pendedahan dibuat oleh pihaknya, poster berbahasa Melayu tersebut telah pun dipadam oleh NGO berkenaan.
Dalam pada itu, menurut hantaran lain oleh Che’Gubard Original, pihaknya juga telah membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh berhubung dakwaan berkenaan di Ibu Pejabat Dang Wangi, semalam. – KOSMO! ONLINE