TAMPIN – Seekor anak kucing yang kesejukan selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam enam meter berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Mohd Zayyid Zakaria berkata, pasukannya menerima panggilan dari warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Besar Tampin yang memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 9.22 pagi.
Menurutnya, sebaik sampai ke lokasi, pasukan bomba telah mendapati terdapat seekor anak kucing yang terjatuh ke dalam longkang dengan kedalaman lebih enam meter dan masih lagi dalam keadaan hidup.
“Anggota operasi menggunakan dua unit alat penafasan bagi memasuki laluan longkang yang tertutup dan jarak daripada anak kucing tersebut untuk diselamatkan kira-kira 66 meter.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menyelamatkan anak kucing berkenaan, Selepas berjaya diselamatkan, anak kucing tersebut diserahkan kepada pihak sekolah,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE