PETALING JAYA – Pelakon Ezzaty Abdullah tidak menyangka kenyataan berhubungan pendiriannya yang enggan menyokong poligami serta rela berundur diri daripada hidup bermadu disalah erti sesetengah pihak.
Jelas Ezzaty, 33, dia sebenarnya langsung tidak menentang poligami kerana perkara tersebut bukan sesuatu yang dilarang dalam Islam.
Cuma jelas pelakon itu, jika keadaan sebegitu (poligami) berlaku dalam hidupnya, dia mengakui tidak kuat berdepan ujian tersebut dan lebih rela mengundur diri secara sukarela sekali gus mengakhiri perkahwinan secara aman berbanding sibuk berbalah.
“Kadang-kadang apa yang kita cakap orang akan salah ertikan.
“Individu yang menuduh saya menentang poligami mungkin tidak menonton video temu bual saya sampai habis, jadi dia tidak faham maksud yang cuba disampaikan.
“Minta maaf cakap, saya tidak mampu menerima perkara seperti itu kerana saya bukan wanita yang kuat,” katanya ketika ditemui semasa tayangan perdana episod pertama siri Liar, kelmarin.
Bagaimanapun, pelakon filem Kau Takdirku itu menerima teguran perihal kenyataannya daripada individu tersebut yang juga merupakan seorang selebriti.
Meskipun begitu, Ezzaty menegaskan dia tetap tidak boleh menerima jika diduakan suaminya iaitu pelakon, Azwan Kombos.
“Kalau dia rasa ayat saya seolah-olah menunggang agama dan mahu jatuhkan hukum kepada saya, adakah dia nabi yang boleh berbuat demikian?
“Saya terima jika dia rasa dirinya seorang yang berilmu, cuma penyampaian saya bermaksud kalau Azwan ada perempuan lain yang mana mereka saling menyukai, saya akan pergi.
“Saya tidak mahu mengganggu kebahagiaan dan sanggup ke tepi kerana tidak rela hidup bermadu,” ujar Ezzaty.
Ditebak tentang kemampuannya berkongsi kasih dengan wanita lain, ibu kepada dua anak itu sebolehnya enggan merasai pengalaman sebegitu, namun dia tidak memandang serong terhadap individu yang ingin berkahwin lebih dari satu.
“Kalau boleh cuba (berpoligami), saya tidak mahu pun merasai pengalaman begitu. Saya sokong poligami kalau lelaki mampu berlaku adil dan bertanggungjawab dengan isterinya,” jelasnya.
Sebelum ini, Ezzaty mengeluarkan kenyataan bahawa dia menolak sekeras-kerasnya poligami dan rela diceraikan jika perlu menjalani kehidupan bermadu.
Pun begitu, kenyataannya mendapat perhatian seorang selebriti yang menganggap aktres drama The Maid itu menyerlahkan kebencian terhadap kehidupan berpoligami. – KOSMO! ONLINE