SEPANG – Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching memaklumkan bahawa pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diteliti dijangka akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) ketika ini masih menerima taklimat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan segala pindaan yang bakal dibuat adalah selaras dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan.
“Draf rang undang-undang (RUU) itu telah dilulus oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kabinet sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 tetapi Kerajaan Perpaduan perlu sedikit masa untuk teliti apa-apa cadangan sebelum ini.
“Kalau semua (berjalan) lancar mungkin pada sidang Parlimen akan datang (Jun) boleh bentang (kerana) perlu dapat persetujuan menteri. Saya perlu teliti draf RUU berkenaan kerana setakat ini taklimat (masih) tidak lengkap dan kita minta SKMM kaji semula.
“Selepas dapat kesemua input dan berpuas hati dengan draf RUU itu, (kita) akan hantar kepada AGC untuk kelulusan dan jemaah menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen #BeCyberSmart dan aplikasi Protect 360 di Mitsui Outlet Park hari ini.
Mengulas mengenai kempen keselamatan siber, Nie Ching memuji inisiatif Courts Malaysia dan syarikat keselamatan siber, F-Secure yang mengambil peluang menerajui kempen keselamatan siber dengan membina ekosistem digital yang lebih selamat serta terjamin.
“Syarikat swasta digesa untuk mengutamakan keselamatan siber sebagai bidang pelaburan utama serta mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan para pelanggan mereka.
“Kita memerlukan lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam inisiatif keselamatan siber termasuk perkongsian awam-swasta untuk membantu memanfaatkan kekuatan sumber masing-masing,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE