SEBERANG PERAI – Dua lelaki warga United Kingdom dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian antarabangsa berjumlah hampir RM53,000.
Lloyd George Bedwell, 48, dan Roger Hoi Wing Wu, 46, diarahkan menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditahan pada 21 Februari lalu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.
Tertuduh yang hadir mengenakan baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu masing-masing turut dikenakan denda RM100,000.
Mengikut dua pertuduhan itu, Lloyd dan Roger bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu Jacob Yazdi didakwa telah menipu dua lelaki warga Austria, Trevor Ronald John Curtis dan Kimberley John Buist Walker.
Ia bagi memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa beliau dijamin akan mendapat kentungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham di syarikat dikenali sebagai Devon Energy Corporation yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.
Dengan itu, mereka dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan sejumlah AUD8,991.92 (RM27,018.28) AUD8,573 (RM25,759.54) ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik MB International Sdn. Bhd.
Kesalahan itu dilakukan mereka di Island Plaza Tower, Tanjong Tokong pada 16 Disember 2022 dan 5 Januari 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Muniandy dan A. Ashok.
SPRM sebelum ini membongkar satu sindiket ‘scammer pelaburan’ yang didalangi warga UK bersama beberapa negara lain kerana turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah menerusi Op Tropicana.
Mereka dipercayai menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdayakan mereka membuat pelaburan tidak wujud. Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon. – KOSMO! ONLINE