fbpx

Anak layari laman lucah guna telefon ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

GAYA didikan ibu bapa kini banyak berbeza dengan telefon bimbit menjadi ‘alat pengasuh’ terbaik sekiranya anak menangis atau membuat kerenah terma­suk di tempat makan.

Berikan sahaja gajet tersebut, anak pastinya akan berhenti merengek selepas membuka video kartun yang terdapat di pelbagai platform media sosial.

Asuhan dengan ‘cara pujukan’ sebegitu membuatkan anak-anak semakin bebas tanpa kawalan termasuk melayari laman pronografi atau laman perjudian seterusnya menjadi hamba kepada gajet.

Baru-baru ini, aktivis yang sering memberi kesedaran berhubung pendidikan seksual, Akhi Fairuz Al-Jengkawi berkongsi ketakutan seorang ibu apabila anak lelaki berusia 11 tahun didapati membuat carian video lucah sejak Februari lalu.

Apa yang turut merisaukan sekiranya mendapat bapa yang panas baran sehingga sanggup memukul anak kerana leka bermain telefon bimbit sehingga lewat malam seperti berlaku di sekitar Lembah Klang, awal tahun ini.

Sebelum kita menyalahkan atau bertindak ganas, adalah lebih baik menginsafi diri kerana apa yang berlaku berkemungkinan besar disebabkan corak didikan kita sendiri.

Menurut Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud, mentaliti masyarakat di negara ini lebih gemar mencari solusi yang senang dan cepat bagi setiap situasi termasuk dalam aspek gajet kepada anak-anak.

Katanya, ini berikutan ramai ibu bapa menggunakan konsep escapism dengan mengambil mudah atau melarikan diri de­ngan perkara-perkara yang me­runsingkan diri.

“Dalam mengajar anak-anak sekarang ini, ibu bapa didapati kurang berilmu. Apa yang mereka tahu nasib baik ada gajet, budak menangis sedikit bagi walaupun anak mereka berusia dua bulan yang langsung tidak tahu mengenai gajet.

“Ini bagi mengelakkan diri merasa serabut dengan rengekan anak-anak tidak kira semasa makan atau naik kenderaan. Satu sikap yang amat menyedihkan dan tidak bertimbang rasa bagi perkembangan anak-anak,” katanya kepada Kosmo!

Beliau menjelaskan tindakan sebegitu hanya membuatkan anak ketagih kepada gajet sehingga boleh menjadi ‘mayat hidup’ kerana lebih menikmati kehidupan dunia maya berban­ding sebenar.

Maka tidak hairan apabila mereka kurang berkomunikasi sama ada dengan ibu bapa, ahli keluarga dan saudara mara apabila bertemu dalam sesuatu majlis kerana tumpuan hanya pada gajet.

“Kesan buruk lebih banyak daripada baik disebabkan kita tidak punyai pengetahuan dalam penggunaan teknologi sehingga menyalahgunakan bagi menyelamatkan diri dalam situasi harian dengan anak-anak.

“Ini membuatkan kita mundur dalam memberikan pelajaran dan pengajaran kepada anak-anak.

“Perkembangan psikologi anak-anak perlu dipelajari. Anak-anak bila berumur tiga atau empat tahun adalah lebih suka meniru dan umur 13 tahun pula mula mencari identiti mereka. Jadi, kena timbang baik buruk supaya mereka mampu menjadi generasi yang bermanfaat kepada ibu bapa dan negara,” ujarnya.

Kata beliau, lebih malang apabila ibu bapa pula menjadi hamba kepada anak-anak mereka yang memberontak sekiranya tidak dipenuhi kehendak mendapatkan atau melihat sesuatu pada gajet susulan kebebasan diberikan sebelum ini.

Tambahnya, sepatutnya aspek kawalan dilakukan lebih awal termasuk dari segi tempoh masa atau mengenakan syarat perlu mengulangkaji, menghafal dan memahami topik pembelajaran subjek sekolah.

“Tidak kisah duduk bandar atau pedalaman yang penting pembelajaran dalam konsep penggunaan gajet kena ada dalam diri ibu bapa. Jangan kita menyesal kemudian,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI