IPOH – Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk dan memukul dua anggota polis di hadapan pos pengawal dekat Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki warga tempatan berusia 30 tahun itu ditangkap dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah malam.
“Semasa kejadian, kereta dipandu suspek telah terlanggar pengadang jalan berhampiran pos pengawal PLPGU.
“Lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu kemudiannya telah mengamuk dan memukul dua pegawai rendah polis yang berada di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, akibat serangan itu, dua anggota polis terbabit cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, permohonan reman untuk siasatan telah dilakukan dan suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad depan.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.
“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE