fbpx

Noh Salleh mohon maaf, patahkan hati ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Patah Hati yang dijayakan Noh Salleh bersama beberapa rakan artis lain beberapa hari lalu dianggap cukup dekat dengan kisah hidupnya.

KUALA LUMPUR – “Saya tahu saya bukan anak yang baik. Dosa paling dahsyat apabila saya patahkan hati orang tua saya. Tolong maafkan saya.”

Itu antara kata-kata oleh penyanyi Noh Salleh ketika berucap sempena hari lahirnya yang ke-38 tahun di hadapan sekitar 2,400 penonton semasa menjayakan konsert Patah Hati di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika menjayakan konsert yang turut dihadiri kedua orang tuanya itu, Noh atau nama lengkapnya Mohammad Noh Salleh berkata, sepanjang hidupnya selama 38 tahun, telah banyak hati yang dia lukai termasuk peminat serta rakan media.

“Saya banyak mengecewakan ibu bapa serta jutaan orang yang telah saya patahkan hatinya. Sepanjang menjadi seniman, saya banyak tersalah cakap dengan peminat, wartawan dan bekas teman wanita.

“Tapi saya rasa yang paling dahsyat dosa saya ialah patahkan hati orang tua saya. Saya tahu sepanjang hidup selama 38 tahun ini, saya tidak pernah menjadi anak yang baik,” ujarnya.

Pada kesempatan itu juga, vokalis kumpulan Hujan itu dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada semua pihak yang pernah terasa hati dengannya sepanjang menjalani kehidupan di dunia yang dianggap penuh cabaran.

“Tolong maafkan segala dosa saya untuk menjadi manusia sepanjang menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

“Di hadapan peminat saya hari ini, tolong maafkan saya,” luahnya.

Dalam pada itu, penyanyi asal Miri, Sarawak itu menyifatkan tema konsert Patah Hati begitu rapat dengan kisah hidupnya dan berasa sungguh gembira apabila persembahannya turut dihadiri kedua-dua ibu bapanya.

Noh yang tampil membuat persembahan terakhir di konsert yang berlangsung selama tiga jam tersebut mendendangkan beberapa buah lagu popularnya seperti Angin Kencang, Sang Penikam, Bila Aku Sudah Tiada, Kotak Hati dan Aku Skandal.

Selain Noh, antara penyanyi lain yang turut membuat persembahan ialah Aisha Retno, Ernie Zakri, Naim Daniel, Imsomniacks dan Nastia.

Untuk rekod, Noh pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas penyanyi, Mizz Nina pada 2 Julai 2011 dan mengumumkan perceraian mereka pada 4 Ogos tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup selama 11 tahun, Noh dan Nina tidak dikurniakan cahaya mata, namun mengambil seorang anak angkat lelaki yang diberi nama Musa.

Sejak mengumumkan berita perceraiannya, Noh sehingga hari ini masih belum bersedia dan menolak ditemu ramah pihak media termasuk di beberapa konsert disertainya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI