fbpx

Lelaki didakwa cuba bunuh pegawai polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pegawai dan anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang pekerja sebuah syarikat kereta sewa didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh pegawai kanan polis menggunakan sebuah kenderaan, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Nazrul Jalal, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melanggar Inspektor Mohamed Yazid Kassim yang sedang menjalankan tugas dengan menggunakan sebuah kereta jenis Honda sehingga menyebabkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Bendahara, dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika tertuduh cuba melarikan diri selepas diserbu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

Tertuduh dikatakan telah bergelut dengan pegawai tersebut sebelum dia berjaya menghidupkan enjin kereta dan bertindak agresif dengan melanggar pasukan serbuan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Ashraf Mohd. Diah.

Darmafikri bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan ekoran tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 19 April depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI