PUTRAJAYA- Kerajaan Perpaduan menegaskan tidak akan sesekali mengizinkan sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk cuba mengadu-domba dan menghangatkan suhu kaum serta agama di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seluruh pasukan Kabinet pimpinannya akan memastikan bahawa keamanan dan perdamaian semua kaum mesti dipertahankan sekali gus tidak bertolak ansur terhadap mana-mana usaha mengganggu-gugat keselamatan negara.
Susulan itu, katanya, beliau telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan agar berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang menggunakan sentimen itu, manakala rakyat miskin akan diupah semata-mata untuk menimbulkan kekacauan.
“Sekarangi ini (isu perkauman dan agama) dalam keadaan terkawal, tetapi ada usaha orang yang kehilangan kuasa untuk menggunakannya demi meniup sentimen kaum dan agama.
“Sekiranya tindakan itu melampau dan mengganggu-gugat negara, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan tetap teguh dalam mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan menjunjung Islam sebagai agama persekutuan serta memberi ruang dan kebebasan hak agama lain seperti dijamin dalam Perlembagaan.
“Sekiranya timbul isu-isu berbangkit melibatkan perkara itu, maka ia perlu dileraikan dengan baik supaya jangan ada perseteruan atau prasangka termasuk isu yang dibangkitkan baru-baru ini mengenai kunjungan ke gereja.
“Ia tidak harus melibatkan kerajaan sama sekali, dan kalau ada apa-apa perlanggaran peraturan atau timbulkan sensitiviti kaum, perkara ini harus dileraikan malalui rundingan,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, kerajaannya mempunyai dasar yang jelas ke arah Malaysia Madani dan teguh dalam mempertahan nilai dan akhlak selain kukuh menyanjung semangat menyatupadukan rakyat pelbagai agama dan kaum.
“Jadi kenyataan tidak bertangunggjawab tidak boleh diguna pakai kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Malaysia ini harus aman, tertib dan dibangunkan oleh Melayu dan bumiputera, Cina, India dan suku-suku kaum lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE