PUTRAJAYA – Pembukaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya bermula semalam memberi banyak pilihan kepada pengguna termasuk penduduk di sini untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam.
Tinjauan Kosmo! serta maklum balas yang diterima daripada mereka mendapati, MRT Laluan Putrajaya antara yang ditunggu-tunggu berikutan ada daripada mereka berulang-alik dari luar Putrajaya serta bekerja di sini.
Begitu pun terdapat dalam kalangan penduduk Putrajaya yang bekerja di luar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini yang kini memilih menggunakan MRT untuk ke tempat kerja.
Wartawan serta jurugambar mencuba menaiki MRT Laluan Putrajaya bermula dari stesen Putrajaya Sentral ke stesen 16 Sierra serta mendapati, perjalanan lancar dengan kekerapan antara tiga hingga empat minit.
Tinjauan sekitar pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi mendapati, keadaan di platform juga tidak sesak, malah pengguna termasuk dari luar Putrajaya mengambil kesempatan merasai pengalaman MRT Laluan Putrajaya.
Seorang kakitangan di stesen MRT Putrajaya Sentral memberitahu, jumlah pengguna dilihat lebih ramai sekitar pukul 7 pagi tadi memandangkan mereka mahu ke tempat kerja.
“Memang ramai yang guna MRT pagi tadi (ke tempat kerja), tapi tidaklah terlalu ramai. Mungkin kerana masih baharu dan lagi pun, ibu bapa ada yang ambil cuti disebabkan cuti sekolah ketika ini.
“Boleh jadi selepas buka sekolah, akan bertambah lagi pengguna naik MRT dari stesen ini ke tempat kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE