fbpx

KPDN sita 18,191 diesel bersubdisi, tahan dua lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI penguat kuasa KPDN Perak menjalankan pemeriksaan ke atas tangki di kawasan perlombongan batu di Ipoh semalam.-IHSAN KPDN

IPOH – Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris di dua kawasan perlombongan batu di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan antara pukul 11 hingga 2 petang itu turut membawa penemuan 18,191 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM50,334.80.

“Hasil pemeriksaan di premis pertama mendapati terdapat 12,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tiga ‘skid tank’ di premis berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan yang disyaki pengurus syarikat mengakui menyimpan minyak diesel di premis itu untuk kegunaan jentera dan mesin bagi menjalankan aktiviti melombong batu kuarza sejak Jun 2022.

“Siasatan lanjut mendapati pihak syarikat gagal mengemukakan sebarang lesen Control Supply Act (CSA) atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan kedua pihaknya berjaya menemukan sebanyak 6,191 liter cecair yang disyaki minyak diesel berada di dalam sebuah skid tank di premis berkenaan.

Katanya, seorang lelaki tempatan yang disyaki pekerja syarikat ditemui di premis di mana dia juga gagal mengemukakan sebarang lesen CSA atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diarahkan.

“Kedua-dua lelaki itu telah ditahan untuk diambil keterangan. Kesemua cecair yang disyaki minyak diesel dan dokumen berkaitan disita dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM50,334.80.

“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI