fbpx

Kebangkitan luar biasa TNB mara ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG TNB, Muhammad Firhan Ashari (tengah) mengasak gawang Maybank pada aksi separuh akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempamerkan kebangkitan dramatik dalam tempoh lima minit terakhir untuk mengesahkan tiket ke pentas final Piala TNB musim ini.

TNB yang ketinggalan tiga gol sepanjang 50 minit permainan, bangkit meledak tiga gol dalam baki lima minit terakhir untuk mengikat Maybank 3-3 sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out.

Pada penentuan tersebut, TNB membuktikan pengalaman dan kemampuan mereka untuk memenangi aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dengan keputusan 3-0.

Pujian harus diberikan kepada keberanian taktikal power play daripada ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang mengambil risiko mengeluarkan penjaga gol pada lima minit terakhir permainan.

Ia ternyata membuahkan hasil apabila TNB berjaya meledak tiga gol bermula dengan jaringan padang Azril Misron (m-57) sebelum Muhammad Amirul Hanif Mamat menyudahkan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-59 dan 60.

Tiga gol itu sememangnya merentap semangat barisan pemain Maybank yang terlebih dahulu mendahului kedudukan 3-0 hasil dua pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim (m-2 dan 22) serta satu gol padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-42.

“Kami tak patah semangat dan jurulatih sentiasa berikan motivasi kepada kami supaya teruskan mencari gol. Walaupun tinggal lagi lima minit tetapi kami percaya ia masih boleh dilakukan.

“Kami tak berhenti usaha selepas mendapat gol pertama. Kami harap dapat kekalkan momentum ini pada final nanti,” kata Amirul Hanif.

Lawan TNB di pentas final Ahad ini adalah seteru tradisi, Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang mencatat kemenangan 8-2 secara agregat ke atas UiTM HA-KPT. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI