PAROI – Terengganu seakan belum berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan rentak kemenangan selepas tunduk 2-1 kepada Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, sebentar tadi.
Pengendali pelawat, Tomislav Steinbruckner melakukan satu pertukaran berbanding aksi dengan PDRM FC sebelum ini apabila kembali menyenaraikan Damagoj Pusic bagi menggantikan Jordan Mintah dalam kesebelasan utama.
Pada perlawanan ini, pemain import baharu Negeri Sembilan, Levy Madinda dan bintang Terengganu, Adisak Kraisorn berjaya membuka akaun jaringan masing-masing di pentas Liga Malaysia (Liga M).
Bintang naturalisasi pelawat, Liridon Krasniqi memastikan permulaan baik buat Terengganu apabila dihidangkan peluang terbaik di depan gawang tuan rumah seawal minit pertama sebaliknya tampanan dilakukannya melambung tinggi melepasi palang gol Negeri Sembilan.
Memasuki minit ke-29, sekalipun sepakan pertamanya berjaya dihalang oleh Rahadiazli Rahalim, tindakan pantas Madinda melakukan tindakan susulan membuahkan hasil untuk menghadirkan gol pembukaan perlawanan.
Ketika aksi memasuki masa kecederaan, Adisak kembali menjadikan kedudukan seimbang selepas penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman gagal menangkap kemas percubaan Sony Norde.
Kemasukan Muhammad Syafik Ismail jelas menghadirkan kualiti tambahan kepada jentera serangan Terengganu dan minit ke-64, kepantasan Herold Goulon berjaya menafikan usaha Krasniqi untuk meletakkan bola ke dalam gawang tuan rumah.
Selang tiga minit selepas itu, kesilapan Azam Azmi Murad yang lewat mengeluarkan bola dari kotak penalti sendiri membuka peluang buat Casagrande mencetak gol kedua buat Negeri Sembilan.
Selepas itu, kecemerlangan Sikh Izhan Nazrel berjaya menafikan beberapa lagi percubaan terbaik Terengganu untuk cuba mendapatkan gol kedua sekaligus memastikan tiga mata buat tuan rumah. – KOSMO! ONLINE