PASIR MAS – Seorang tekong darat dan enam pendatang tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kampung Gual Bunut, Kubang Kual di Rantau Panjang dekat sini, semalam.
Kemalangan itu disedari sepasukan pegawai bersama anggota Balai Polis Rantau Panjang dan Balai Polis Lubok Stol, di sini, kira-kira pukul 7 malam semasa mereka menjalankan rondaan Ops Tapis di kawasan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, semasa menjalankan rondaan, polis melihat sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun terbabas di tepi jalan.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui seramai enam lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 23 hingga 52 tahun.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta terbabit menjumpai 19 biji pil yang disyaki dadah. Dua orang PATI yang cedera masing-masing dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Aminuddin, pemandu yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan empat lagi PATI yang hanya mengalami cedera ringan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, lelaki warga tempatan itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA manakala enam orang PATI mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE