PUTRAJAYA – Pembukaan MRT Laluan Putrajaya hari ini, memberi kelegaan kepada penduduk di Putrajaya serta sepanjang jajarannya.
Tinjauan di stesen MRT Putrajaya di sini, mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mencuba laluan itu malah masing-masing membawa ahli keluarga untuk merasai sendiri pengalaman berkenaan.
Lebih menarik, laluan MRT Putrajaya boleh digunakan secara percuma bermula hari ini sehingga 31 Mac ini sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Amir Hamdan berkata, pihaknya menjangkakan orang ramai akan mengambil kesempatan menggunakan kemudahan itu memandangkan musim cuti sekolah belum berakhir.
“Kita jangkakan 80,000 hingga 100,000 penumpang akan memanfaatkan jajaran ini tahun ini dan ia akan meningkat dari semasa ke semasa.
“Menjelang Ramadan tidak lama lagi, kami harap orang ramai dapat merancang perjalanan dengan memanfaatkan kemudahan laluan ini sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi MRT Laluan Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, salah seorang penumpang dikenali Afizu Rajali, 48, berkata, pembukaan MRT laluan Putrajaya melegakan kerana ia alternatif kepada pengangkutan awam lain selain memandu sendiri.
Katanya, dia akan menggunakan perkhidmatan MRT untuk ke pejabat di Cyberjaya bagi mengelak kesesakan dan menjimatkan masa.
“Ketika ini, lebuh raya sekitar Putrajaya seperti Maju Expressway (MEX) semakin sesak. Justeru, MRT laluan Putrajaya pasti akan menjadi pilihan kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Jess Lee, 60, ketika ditemui berkata, dia sudah menunggu hampir 20 tahun untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang sistematik menghubungkan Cyberjaya dan Putrajaya.
“Saya sangat bangga kerana akhirnya Malaysia juga mampu menyediakan rangkaian perkhidmatan awam menhubungkan lokasi utama di Lembah Klang,” katanya.
Seorang lagi penumpang, S.Yatesh, 19, berkata, dia mengakui tidak lagi perlu menukar tren untuk ke pusat pengajiannya di Kolej Unikop, Cyberjaya.
“Kini hanya perlu mengambil satu tren dari Sungai Besi. Sebelum ini saya terpaksa bertukar dua jenis perkhidmatan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) dan KLIA Transit ke Cyberjaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE