fbpx

Menyanyi itu ‘ubat’, terapi – Hail Amir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Wajah Kesayangan Hamba, Hail bakal sepentas dengan Sanisah Huri, Ziana Zain dan Bob Yusof dalam konsert yang dijadualkan berlangsung di Dewan Filharmonik, Petronas pada 6 Mei depan.

KUALA LUMPUR: Pernah terkena serangan jantung hingga kudrat tidak sekuat dulu, penyanyi popular era 1970-an Datuk Hail Amir menganggap nyanyian antara terapi yang dapat menguatkan semangat hidupnya.

Kata penyanyi berusia 74 tahun itu, tubuhnya seakan-akan lemau apabila duduk sahaja di rumah andai tiada undangan persembahan yang membolehkannya berjumpa orang ramai.

“Walaupun sudah lima dekad menghiburkan khalayak, saya tetap seronok melaksanakan tanggungjawab ini apatah lagi melihat penonton gembira.

“Jadi saya teruja tunggu hujung minggu sebab biasanya banyak undangan yang membawa saya keliling negara selain terbang sampai ke Sabah, Sarawak dan Brunei.

“Kalau orang panggil biasanya saya tak tolak tawaran atau rezeki sebab siapa tahu selepas ini mungkin saya tak lagi diberi peluang menyanyi.

“Selagi orang percaya kita ambil saja, lagi pun ini aktiviti yang kita suka,” pada sidang media Konsert Raya Sepanjang Zaman anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO)di sini, semalam.

Pada konsert yang dijadualkan berlangsung di Dewan Filharmonik 6 Mei depan, penyanyi Wajah Kesayangan Hamba itu bakal sepentas dengan Sanisah Huri, Ziana Zain dan Bob Yusof.

Menurut Hail, pertama kali diberi kesempatan untuk beraksi di gelanggang gah itu apatah lafimenyampaikan lagu rayba bersama orkestra sesuatu yang dinantikan.

“Saya berbesar hati dipanggil menyanyi bersama dengan MPO selepas sudah lama tidak beraksi dengan kumpulan orkestra yang besar.

“Paling saya nantikan adalah segmen lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini kerana kami ada lagu duet berjudul Bisikan Hati di Pagi Raya yang dirakamkan pada tahun 1977.

“Saya suka lagu itu. Jadi dendangan tersebut menggamit memori lampau. Pada waktu sama saya ketika itu turut tampil duet dengan Uji Rashid membawakan Seloka Hari Raya yang popular.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Abdul Hail Amir itu dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan ditahan di dalam wad akibat masalah jantung.

Kata Hail, bagi memastikan dirinya terus bertenaga dan dapat keluar menghiburkan peminat, dia mengakui mula menjaga pengambilan makanan.

Sementara itu, mengenai konsert yang berkonsepkan lagu hari raya, konsert dikemudi Konduktor MPO, Ahmad Muriz Che Rose dengan dilengkapkan penampilan lebih 60 pemuzik orkestra berpengalaman.

Selain dedikasi segmen kepada Sharifah Aini, penyanyi terbabit juga bakal mendendangkan medley lagu raya daripada Datuk M Nasir dan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI