SATU lagi pencapaian besar diraih penyanyi berpengaruh, Lisa Blackpink selepas akaun Instagramnya mencatat jumlah pengikut seramai 90 juta baru-baru ini.
Rekod tersebut sekali gus menjadikan pelantun lagu Lalisa itu sebagai artis K-pop pertama mencatat jumlah setinggi itu.
Lisa menggapai jumlah 90 juta pengikut dalam tempoh empat tahun, lapan bulan dan 27 hari sejak dia membuka akaun rasminya @lalalalisa_m.
Selain agak aktif berkongsi gambar dalam Instagram, peningkatan jumlah pengikut seramai itu difahamkan dicatat seiring dengan penganjuran konsert jelajah dunia Blackpink, Born Pink.
Kumpulan itu baru sahaja melunaskan konsert di negara ini bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 Mac lalu, sebelum ke Jakarta, Indonesia selama dua hari (11 dan 12 Mac).
Minggu ini, kumpulan berpengaruh itu singgah ke Taiwan, seterusnya Manila, Singapura sebelum ke Australia dan mengakhiri konsert mereka di New Zealand pada Jun depan.