fbpx

Hampir hilang nyawa dibelit ular sawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusmawaty bersama anak-anaknya di rumah mereka di Kampung Baru semalam.

GUA MUSANG – Tujuh sekeluarga dihimpit kemiskinan menyebabkan mereka terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik di sebuah rumah setinggan di Kampung Baru di sini sejak empat tahun lalu.

Rusmawaty Rusdy, 35, berkata, kehidupan bersama suaminya, Mohd. Soffian Mohd. Rosni, 41, dan lima anaknya berusia antara dua hingga 14 tahun ‘kelam’ tanpa sinar apabila tidak mampu melunaskan bil tertunggak yang mencecah ribuan ringgit sehingga bekalan elektrik di rumah berkenaan dipotong.

Katanya, disebabkan rumah mereka terletak di atas tanah rizab sungai, penyambungan semula elektrik tidak boleh dilakukan walaupun jumlah tunggakan itu dibayar.

“Suami saya akan menyalakan lampu diod pemancar cahaya (LED) menggunakan bateri kereta untuk menerangi rumah pada setiap malam.

“Lampu LED ini boleh dipasang dalam tempoh sekejap sahaja dan cahayanya juga terhad apabila ia mampu bertahan ha­nya beberapa jam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Rusmawaty memberitahu, dia dan seluruh ahli keluarga sudah biasa tidur dalam gelap sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, anak ketiganya yang berusia lapan tahun pernah dibelit ular sawa pada bahagian kaki apabila rumah mereka tiada lampu pada waktu lewat malam.

“Ketika itu, anak saya mengejutkan suami dengan mengatakan kakinya tidak boleh berge­rak. Apabila menghidupkan lampu suluh, kami terkejut melihat ka­kinya sudah dibelit seekor ular sawa sebesar lengan dewasa.

“Beberapa hari lepas pula se­ekor kala jengking masuk ke dalam rumah, namun berjaya dihalau keluar,” ujarnya.

Rusmawaty berkata, pendapatan suaminya tidak menentu kerana hanya melakukan kerja-kerja kampung.

“Kami tidak mampu menyewa rumah yang lebih baik dan perlu bertahan hidup di rumah yang sedia ada.

“Kami sangat berharap sekiranya ada pihak yang sudi membantu untuk membeli sebuah generator supaya kami dapat memasang lampu pada waktu malam,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi talian 011-5902 7641.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI