STATISTIK Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan jumlah kes keganasan rumah tangga pada 2021 adalah sebanyak 7,468 kes, meningkat 42 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketika ini, satu demi satu kisah keganasan rumah tangga didedahkan di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.
Bukan sahaja melibatkan selebriti, masalah tersebut turut berlaku dalam kalangan orang awam dengan seribu satu ‘kisah dalam kelambu’ dilondehkan untuk tatapan umum.
Mangsa keganasan domestik yang sebahagian besarnya adalah wanita kini sering dilihat tampil bersuara dan mendedahkan perlakuan keji si suami ke atas diri mereka.
Enggan lagi dianggap wanita yang lemah, si isteri begitu lantang bersuara dan mempertahankan hak-haknya sehingga ada yang dilabel sebagai ‘isteri derhaka’ atau dituduh membuka aib suami.
Pengguna media sosial yang sememangnya ‘dahagakan’ kisah-kisah sensasi pula mencari peluang untuk memberi pendapat dengan ada yang mengecam, menuduh tanpa usul periksa serta tidak kurang juga yang terlampau beremosi sehingga mempengaruhi perasaan mereka.
Menurut Pakar Psikologi Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor, masalah keganasan rumah tangga telah lama berlaku sejak zaman dahulu, namun perubahan teknologi iaitu media sosial menjadikan kisah peribadi suami isteri mudah ‘dijaja’ di platform umum.
“Ada masanya, mangsa kes keganasan rumah tangga ini bertindak di bawah keadaan separa sedar di mana mereka sekadar mahu meluahkan segala rahsia yang dipendam selama ini.
“Namun, impaknya luahan tersebut dibaca berjuta-juta orang. Netizen pula sememangnya dahagakan kisah-kisah buruk begini yang menyebabkan ia menjadi bualan ramai,” katanya.
Dengan mentakrifkan kes penderaan dalam rumah tangga merangkumi aspek fizikal, emosi, seksual dan mental, Mariani berkata, tidak salah untuk seorang isteri bersuara bagi mempertahankan haknya, namun ia perlu dilakukan dalam cara yang tidak menimbulkan pertelingkahan antara suami isteri.
“Sebaik-baiknya, si isteri jangan menceritakan keburukan suami kepada orang ramai terutamanya di media sosial.
“Pada zaman ini, apabila terlalu banyak pendedahan dibuat, ia akan mendorong emosi seseorang menjadi semakin memuncak seterusnya membawa kepada implikasi tidak elok terhadap sesebuah rumah tangga,” jelasnya.
Sementara itu, bagi pihak suami pula, Mariani berkata, kemanisan yang dilalui ketika bercinta perlu dikekalkan bagi mengelakkan kes keganasan rumah tangga daripada berlaku.
“Dahulu, ketika zaman bercinta, mereka (lelaki) boleh berlembut dengan wanita (isteri). Ke mana pergi kemanisan itu?
“Apa yang dikesalkan adalah ada antara suami yang ‘menyalurkan’ kemanisan tersebut kepada perempuan lain seolah-olah membuka peluang kepada ‘pintu-pintu kecurangan’. Isteri mana yang tidak marah?
“Apabila masing-masing tidak bertolak ansur, provokasi mula berlaku dan seterusnya menyebabkan si suami hilang sabar lalu naik tangan,” ujarnya.
Hidup berumah tangga sememangnya bukan mudah. Terlalu banyak dugaan yang mendatang dan cabaran paling besar adalah untuk saling mengenali hati budi dan menerima kelebihan serta kekurangan pasangan.
Lelaki yang baik adalah lelaki yang tidak memukul wanita, suami misali pula adalah suami yang mampu bersabar ketika isterinya ‘hilang akal’. -KOSMO! ONLINE