SHAH ALAM – Dua lelaki warga Myanmar dan India diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh pemandu grab warga tempatan, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh iaitu Sua Lay, 38 dan Gurpreet Singh, 28.
“Setelah meneliti segala bukti dan hujahan, mahkamah mendapati terdapat kes prima facie.
“Ini melibatkan ada penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh kedua ( Gurpreet) di lokasi kejadian dan keterangan membabitkan tertuduh pertama ( Sua Lay) yang memandu arah bagi penemuan kunci kereta si mati selain anggaran kasar tempoh masa kematian antara satu dan dua hari bersesuaian dengan pertuduhan,” jelasnya.
Sua Lay dan Gurpreet masing-masing didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C, Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves dekat sini pada pukul 10.08 malam, 21 Jun 2018.
Sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail manakala Sua Lay diwakili Peguam Datuk Rajpal Singh dan Gurpreet oleh Peguam Muhamad Amirul Jamaluddin.
Kedua-dua tertuduh memilih memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi pada prosiding pembelaan yang ditetapkan pada 9, 16,17 dan 18 Mei depan.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan seorang pemandu Grab selama dua hari terbongkar apabila ditemui mati dalam kereta Perodua Myvi miliknya di tempat letak kenderaan kawasan perumahan Selayang Baru dekat sini.
Mayat mangsa berasal dari Nilai, Negeri Sembilan ditemui pada 23 Jun 2018 kira-kira pukul 8.20 malam.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas dipercayai ditekup menggunakan baju-T miliknya sendiri. -KOSMO!ONLINE