JEDDAH – Saingan musim baharu Formula Satu (F1) baru sahaja bermula, namun pelumba Ferrari, Charles Leclerc menjadi pelumba pertama berdepan hukuman menjelang Grand Prix (GP) Arab Saudi di Litar Jeddah Corniche hujung minggu ini.
Pelumba Perancis itu dikenakan penalti 10 petak ke belakang pada perlumbaan tersebut memandangkan pasukannya terpaksa memasukkan unit kawalan elektronik baharu ke dalam jenteranya.
Situasi itu pastinya membuatkan Leclerc pening kepala memandangkan dia menggalas misi penting untuk mencabar pelumba Red Bull, Max Verstappen dalam perebutan kejuaraan dunia musim ini.
Prinsipal Ferrari, Fred Vasseur berkata, mereka terpaksa mengambil langkah tersebut selepas Leclerc berdepan masalah enjin sehingga gagal menamatkan perlumbaan pada GP Bahrain dua minggu lalu.
“Ada dua masalah pada perlumbaan di Bahrain sebelum ini, iaitu ketika kami menghidupkan enjin jentera serta ketika perlumbaan. Rupa-rupanya ia disebabkan masalah unit kawalan elektronik yang tidak pernah dihadapi.
“Bagaimanapun, semuanya sudah berada dalam kawalan dan kami sudah melakukan analisis mendalam mengenainya. Apa yang malang adalah kami terpaksa menerima penalti tersebut atas keputusan ini,” katanya.
Untuk rekod, setiap pelumba dibenarkan untuk menggunakan dua tempat simpanan tenaga dalam semusim, namun Leclerc sudah menggunakan salah satu kuota tersebut ketika menggantikan komponen unit kuasa pada GP Bahrain. – AGENSI