fbpx

Kuman makin kebal, dunia makin kurang antibiotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanya 12 antibiotik yang diluluskan WHO dalam tempoh lima tahun. - John Angelillo/UPI

GENEVA, SWITZERLAND – Analisis baharu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa bilangan antibiotik baharu yang sedang dibangunkan adalah terlalu sedikit terutamanya ubat bagi menghapuskan bakteria dan patogen berbahaya, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

“Dalam tempoh lima tahun laporan ini disediakan, kita hanya mempunyai 12 ubat antibiotik baharu yang diluluskan, manakala cuma satu daripada ubat berkenaan iaitu Cefiderocol boleh digunakan terhadap semua patogen yang dikategorikan sebagai kritikal oleh WHO,” kata ketua pasukan bahagian rintangan antimikrob WHO, Dr. Valeria Gigante.

Tambah beliau, ketika ini, hanya 27 ubat antibiotik yang sedang dibangunkan melibatkan fasa satu hingga fasa tiga ujian klinikal, dengan sedikit inovasi dilakukan.

“Hanya empat daripada 27 ubat antibiotik tersebut mempunyai mekanisme tindakan baharu dan kebanyakannya bukan merupakan kelas ubat baharu tetapi evolusi kelas antibiotik sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, laporan sama mendapati syarikat-syarikat farmaseutikal tidak berminat untuk membangunkan antibiotik antimikrob kerana rawatannya kebiasaannya adalah dalam jangka masa pendek dan kurang menguntungkan.

Dengan menggelarnya sebagai ‘pandemik senyap rintang antibiotik’, penyelidik-penyelidik memberi amaran mengenai ‘senario kiamat’ di mana prosedur perubatah rutin tidak lagi berkesan. Bilangan pesakit yang nazak akibat jangkitanyang tidak boleh dirawat sebelum ini juga akan meningkat, kata mereka.

“Peningkatan pantas dalam jangkitan rintang berbilang ubat di seluruh dunia amat membimbangkan.

“Masa semakin suntuk untuk kita membawa antibiotik baharu ke dalam pasaran dan memerangi ancaman yang dibawa kepada kesihatan awam.

“Tanpa tindakan segera, kita berisiko kembali ke era praantibiotik di mana jangkitan biasa akan menjadi sesuatu yang boleh membawa maut,” kata Gigante lagi.
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI