fbpx

Isu malpemakanan kanak-kanak akan ditangani segera – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Isu malpemakanan melibatkan kanak-kanak di negara ini akan diatasi dengan segera melalui Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah beban berganda malpemakanan merupakan isu sosial yang memerlukan gandingan kerajaan, industri dan komuniti dalam merealisasikan hasrat tersebut.

“MSN ditubuhkan sebagai jentera pelaksana Dasar Sosial Negara yang merupakan dasar payung, merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara.

“Di dalam mesyuarat MSN hari ini, saya telah menyarankan ahli-ahli mesyuarat untuk satu penyelarasan semula langkah pelaksanaan dan implementasi secara menyeluruh agar dapat mengelakkan pertindihan fungsi, pembaziran sumber serta budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri.

“Justeru, mesyuarat setuju melakukan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mengukuhkan program memerangi masalah beban berganda malpemakanan kanak-kanak di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat MSN di bangunan Parlimen hari ini.

Katanya, mesyuarat berkenaan turut membincangkan kebimbangan terhadap isu kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak oleh pengasuh yang kerap berlaku di negara ini.

“Mesyuarat bersetuju untuk pastikan proses pendaftaran taska, tabika dan pusat jagaan supaya sentiasa patuhi peruntukan dan peraturan undang-undang tanpa kompromi isu kurikulum, silibus, keselamatan dan kesihatan,” ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, bilangan kes orang papa yang diselamatkan semasa operasi yang semakin meningkat berbanding bilangan kes berdikari selepas diselamatkan, turut dibincangkan dan MSN bersetuju untuk nilai semula mekanisme pengoperasian serta hala tuju dalam menangani isu gelandangan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Melalui MSN katanya, diharapkan isu-isu sosial dapat dibincangkan dalam platform secara aktif dan berkesan serta dapat diperluas melibatkan semua agensi kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan dalam menangani masalah sosial ke arah pembangunan sosial negara yang lebih sejahtera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI