KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat diminta menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri wee Ka Siong bahawa beliau telah didesak secara tidak wajar untuk membetulkan kenyataan yang dibuat di Parlimen.
Pengerusi Kelab Backbenchers Kerajaan, Datuk Seri Johari Ghani yang membuat gesaan itu berkata, kenyataan Ka Siong telah mencetuskan ‘loceng penggera’ di pelbagai peringkat dan Speaker mesti bertindak segera kerana ia menjejaskan prosiding di Parlimen dan keupayaan ahli Parlimen untuk melaksanakan tugas mereka.
Semalam, Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat bahawa terdapat seorang individu mendakwa sebagai wakil J&E Advance Tech Sdn Bhd telah menghubunginya untuk menuntut penarikan balik kenyataan yang dibuatnya di Parlimen mengenai pengimportan telur dari India. .
Menurut Ka Siong, pemanggil itu mendakwa telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO), selepas itu diputuskan bahawa Ahli Parlimen Ayer Hitam itu akan mengeluarkan kenyataan di Parlimen untuk menyelesaikan pertikaian yang dikatakan timbul daripada kenyataannya sebelum ini.
“Pertama, seorang ahli Parlimen tidak boleh ditekan oleh mana-mana pihak untuk membuat apa-apa jenis kenyataan secara tidak sengaja.
“Kedua, tiada pegawai awam atau ahli perniagaan harus membuat sebarang pengaturan yang direka untuk memberi tekanan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk melakukan atau berkata apa-apa,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa kepada FMT.
Tambah Johari, dakwaan pemanggil bahawa perbincangan telah diadakan dengan PMO mungkin merupakan pencerobohan yang menyalahi undang-undang oleh eksekutif ke dalam Parlimen.
“Ia juga mungkin sama dengan pelanggaran disiplin penjawat awam. Parlimen bertanggungjawab menyiasat perkara ini dan memastikan tindakan yang perlu diambil,” jelas beliau.
Hari ini, Ka Siong telah menegaskan individu yang didakwa ‘Deepak’ adalah pemanggil yang menghubungi beliau seperti mana yang didedahkan semalam.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, dakwaan tersebut berdasarkan kepada profil dan paparan nombor telefon bimbit 019-9999989.
“Saya amik gambar tangkap layar setiap hari, saya lihat perubahan, jadi nombor yang saya terima ini adalah satu nombor 019-99999989 lelaki itu dakwa, dia ‘Deepak’.
“Jadi kalau gunakan aplikasi TrueCaller hasil carian dimiliki seorang insan bernama ‘Deepak J Tekwani’. Biarlah polis siasat hingga ke lubang cacing,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. -KOSMO! ONLINE.