PUTRAJAYA – Maritim Malaysia (APMM) memerlukan lebih 700 anggota baharu bagi mengisi kekosongan jawatan di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pengambilan itu penting bagi mengisi kekosongan berikutan ada kakitangan yang bersara dan sebagainya.
“Kita (APMM) masih kekurangan 20 peratus daripada hampir 4,000 perjawatan yang diluluskan kerajaan. Jadi, kita berharap ia dapat diisi secepat yang mungkin,” katanya ketika ditemui selepas hadir Perbarisan Paluan Berundur sempena persaraannya di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Zubil berkata, pihaknya mengakui APMM akan berdepan cabaran besar dalam menjaga keselamatan perairan negara pada masa hadapan terutama dalam membanteras penyeludupan rokok dan pendatang asing tanpa izin
(PATI).
“Jika dahulu, kita lihat ancaman jenayah bersifat tradisional namun kini kita lihat kes penyeludupan rokok dan pendatang turut berkait dengan pengubahan wang haram.
“Malah, bukan itu sahaja, di belakang itu (kes penyeludupan), ada (sindiket) yang lebih besar tapi dan itu yang perlu kita banteras,” katanya.- KOSMO! ONLINE