JOHOR BAHRU – Lebih ramai individu termasuk orang kenamaan bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan pihaknya tidak akan memberi pengecualian dan perlindungan kepada mana-mana pihak.
“Maklumat daripada pegawai penyiasat memberitahu, ramai lagi saksi-saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan, bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga melibatkan individu luar negara.
“Saya tidak menolak sesiapa sahaja (untuk diambil keterangan), baik VIP atau menteri yang terlibat dalam kes ini, semua akan dipanggil untuk memastikan siasatan kes ini dapat dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Johor, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE