MADRID – Real Sociedad berjaya membenam Huesca 4-1 di laman sendiri untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam semua pertandingan sekali gus melonjak ke takhta La Liga dengan penuh bergaya.
Penyerang Sepanyol, Mikel Oyarzabal meletakkan Sociedad di hadapan menerusi jaringan penalti pada separuh masa pertama, namun pemain pasukan lawan, Rafa Mir menyamakan kedudukan sebelum Oyarzabal meledak gol kedua untuk mendahului perlawanan.
Pemain Cristian Portu dan Alexander Isak kemudiannya meledak dua lagi gol untuk pasukan tuan rumah hasil umpanan cantik bekas pemain Manchester City, David Silva.
“Saya sangat bangga dengan para pemain tetapi bukan disebabkan keputusan yang kami peroleh, namun apa yang saya suka adalah bagaimana kami respon selepas dibolosi untuk bangkit mencari gol penyamaan sekali gus menang aksi ini.
“Kami dalam keadaan yang menggembirakan, menyaksikan pasukan ini beraksi seperti itu memberikan saya perasaan teruja. Ia sangat kesal sebab para peminat kami tidak dapat menikmati momen itu,” kata jurulatih Sociedad, Imanol Alguacil.
Sociedad memiliki kelebihan satu mata di atas Real Madrid, meskipun bermain lebih satu perlawanan berbanding juara bertahan The Galacticos, namun anak-anak buah Alguacil berjaya berada di tampuk La Liga selama dua pusingan berturut-turut musim ini. – AGENSI