PETALING JAYA – Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyifatkan semua parti masih belum ‘sempurna’ serta mempunyai pemimpin yang benar-benar bersih.
Jelas Ketua UMNO Bahagian Maran itu, ketidaksempurnaan itu bagaimanapun tidak wajar menjadi alasan bagi menafikan sokongan terhadap pemimpin kerana situasi tersebut wujud dalam mana-mana organisasi atau syarikat, termasuklah parti politik.
“Ada tak pemimpin yang betul-betul bersih dan disenangi rakyat, jawapannya tak ada.
Baik dalam mana-mana parti, PKR, Amanah, DAP, Pas, Bersatu, tak ada yang 100 peratus bersih atau baik.
“Jadi tidak sepatutnya timbul isu mempersoalkan figura pemimpin dari parti politik sendiri, ahli parti perlu hormat institusi parti dan memahami perlembagaan parti,”katanya kepada Kosmo!
Shahaniza berkata, anggota parti perlu hormati institusi berkenaan dengan memahami perlembagaan dan matlamat UMNO serta tidak menjadikannya sebagai kepentingan peribadi.
Ujar beliau, tindakan sesetengah pihak yang lantang mengkritik kepimpinan UMNO selama ini tidak sepatutnya berlaku.
“Saya selalu cakap kalau nak masuk UMNO kena baca dulu perlembagaan UMNO, kamu faham tak penubuhan UMNO ini untuk apa?Apa niat kita masuk?
“Adakah niat kita untuk kepentingan diri atau perjuangan. Bila niat untuk diri sendiri dia tak bawa parti,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE