KUALA LUMPUR – Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton All England apabila tewas mengejut di tangan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.
Beregu negara di ranking kedua dunia itu tewas 18-21, 21-14, 13-21 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Arena Birmingham sebentar tadi.
Kekalahan itu sememangnya langsung tidak dijangka memandangkan Aaron-Wooi Yik tidak pernah tewas kepada pasangan No.11 dunia itu dalam empat pertemuan terdahulu antara mereka.
Kali terakhir Aaron-Wooi Yik menang ke atas Carnando-Marthin adalah sewaktu Indonesia Masters tahun lalu dengan keputusan 27-25, 21-14.
Lebih malang, ini adalah kali kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik tewas di peringkat awal selepas turut mengalami nasib sama terkandas di pusingan kedua Terbuka Jerman minggu lalu.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik turun ke All England sebagai pilihan kedua kejohanan selain memegang status selaku juara Kejohanan Dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun tahun lalu. – KOSMO! ONLINE