PELUMBA negara, Khairul Idham Pawi enggan mempamerkan aksi longlai dalam baki tiga perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia kelas saingan Moto3 musim ini selepas hilang tempat bersama pasukan Petronas Sprinta Racing tahun depan.
Khairul Idham atau lebih mesra disapa Super KIP bertekad, memberikan tunggangan terbaik pada baki tiga perlumbaan bulan depan pada Grand Prix (GP) Europa, GP Valencia dan GP Portugal.
Pada GP Teruel di Litar Motorland kelmarin, Khairul Idham, 22, telah berusaha sebaik mungkin, namun usahanya masih tidak mencukupi apabila menamatkan saingan di tempat kedua tercorot.
“Perlumbaan ini sukar kerana saya bermula dari belakang. Brek jentera saya mengalami gangguan selain dikenakan penalti Long Lap mengakibatkan saya ketinggalan dengan pelumba lain.
“Bagaimanapun, saya dapat mencatat masa konsisten dengan menggunakan tayar keras. Saya kecewa kerana tidak dapat menunjukkan peningkatan.
“Saya akan melakukan yang terbaik dan bekerja keras bagi mendapatkan pelarasan yang lebih sempurna,” katanya.
Prestasi KIP perlu lebih baik selepas ini bagi mencerahkan peluangnya untuk memikat mana-mana pihak agar dapat beraksi dalam Moto3 ataupun Kejuaraan Moto2 Eropah.
Ia selepas Petronas Sprinta Racing memilih pelumba Scotland, John McPhee dan Darryn Binder dari Afrika Selatan menggantikan tempat KIP pada saingan Moto3 musim depan.