PASUKAN Hoki Terengganu (THT) berada di landasan untuk menjulang trofi ketiga bagi melengkapkan gelaran treble musim ini apabila sudah meletakkan sebelah kaki ke final Piala TNB.
Gergasi Pantai Timur itu membawa bekalan selesa empat gol ke atas UiTM HA-KPT menjelang aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 dan pemenang Piala Sumbangsih itu menang 5-1 ke atas UiTM hasil dua jaringan Ismail Abu dan Jang Jonghyun selain satu daripada Faizal Saari pada aksi pertama kelmarin.
Bagaimanapun, kapten THT, Mohd. Fitri Saari tidak mahu rakan-rakan sepasukannya leka dengan situasi itu, sebaliknya menggesa mereka menghormati pihak lawan dan kekal beraksi pada tahap sebenar.
“Kelebihan yang selesa buat kami tetapi dalam hoki apa sahaja boleh berlaku. Kami tak boleh leka dan perlu manfaatkan peluang yang ada supaya tidak berlaku sebarang kejutan,” katanya.
Sementara itu, peluang terbuka buat dua lagi pasukan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank apabila kedua-duanya seri 2-2 dalam aksi pertama kelmarin.
Situasi sama dalam saingan Piala Vivian May Soars apabila juara berganda, Negeri Sembilan juga berkelebihan besar untuk melangkah ke final musim ini apabila menang 4-1 ke atas TLHT-MSNT kelmarin.
“Saya tak fikir final kerana kami masih ada satu lagi perlawanan. Walaupun menang tetapi para pemain masih ada 60 minit sebelum mengesahkan tempat ke final,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Rajan.
Empat gol Negeri Sembilan dihasilkan dua oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar dan satu daripada Nuramirah Syakirah Zulkifli serta Fatin Shafika Mahd. Sukri.